"Jadilah seperti pohon rendang yang berbuah; dibalingkan dengan batu, tetapi diberikan buah sebagai balasan." ~Hasan Al-Banna~

Saturday, 19 November 2011

Tazkirah: Persaudaraan Kerana Allah by isma

Kehidupan di zaman ini menghadapi pelbagai cabaran, cabaran yang paling hebat ialah dengan bermaharaja lelanya kebendaan di dalam hubungan sesama manusia. Ini menuntut kita supaya memperbaharui ilmu tentang persaudaraan kerana Allah di dalam Islam.
Apa yang dimaksudkan dengan “ilmu persaudaraan kerana Allah” ialah bagaimana kita berkomunikasi, saling faham memahami, saling memaafkan, saling mengasihi diantara satu sama lain, dan bukan setakat itu bahkan bagaimana kita berselisih pendapat di antara satau sama lain di bawah bayangan kasih sayang kerana Allah?
Sesungguhnya seorang yang memperjuangkan Islam sangat memerlukan ilmu ini supaya hubungan di antara individu-individu di dalam sesuatu jemaah itu menjadi kukuh, dan supaya usaha kita semua tidak sia-sia begitu sahaja, kerana ukhuwah bukanlah syiar yang dilaung-laungkan ataupun kata-kata yang dituturkan, akan tetapi ia adalah perbuatan dan tingkah laku. Ia merupakan sistem kehidupan, kerjasama, saling lengkap melengkapi, kasih sayang, cermin setiap seorang daripada kita supaya dapat melihat dirinya dengan terang dan jelas, serta ia merupakan tubuh badan yang satu dan satu binaan yang kukuh.
Jadi, jika kita telah mencapai tahap ini maka kita telah menjejakkan kaki kita pada permulaan jalan untuk menuju kejayaan yang dimpikan, kita boleh mengambil pengajaran daripada sirah Baginda SAW di mana baginda mempersaudarakan diantara Muhajirin dan Ansor ketika mula-mula berhijrah ke Madinah sebagai satu langkah pertama selepas mengukuhkan aqidah dan iman di dalam jiwa para sahabatnya RA.
Demi merealisasikan tujuan ini, marilah kita merenung sejenak tentang kepentingan Ukhuwah, kedudukannya, cara-cara menyemai dan memeliharanya serta kesannya kepada individu dan masyarakat.
Kepentingan Ukhuwah
Ukhuwah adalah satu nikmat yang sangat besar yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang beriman kerana ia adalah satu hubungan yang mana tidak ada hubungan yang lebih kukuh daripadanya.
Sesungguhnya aqidah ini sangat ajaib. Apabila hati-hati pemiliknya bertemu, maka akan menjadi lembutlah hati yang keras, akan suburlah hati yang gersang, akan terikatlah hati-hati tersebut dengan ikatan yang sangat kuat dan mendalam. Justeru, pandangan mata, pergerakan anggota dan degupan jantung menjadi titik-titik perkenalan, kasih sayang, kesetiaan, kerjasama dan tolak ansur yang tidak mampu mengetahui rahsianya selain tuhan yang menyatukan hati-hati tersebut, dan tidak akan merasai kemanisannya melainkan hati-hati itu sendiri.
Allah mengingatkan hamba-hambanya tentang nikmatnya yang besar ini serta mengajak mereka kepada perpaduan serta menjauhi perpecahan dengan firmannya yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika mana kamu semua bermusuhan lalu Allah menyatukan di antara hati-hatimu maka kamu menjadi bersaudara dengan nikmatnya. (Ali Imran: 103)
Mempersaudarakan di antara Muhajirin dan Ansar pada permulaan gerak kerja Nabi SAW di Madinah merupakan suatu yang amat penting di dalam menyediakan satu generasi yang hebat, dan di dalam membentuk negara Islam yang pertama. Baginda SAW mampu menyatukan sof mereka di atas satu tujuan yang lebih tinggi daripada segala tujuan dan kepentingan-kepentingan peribadi yang sangat mudah hilang ketika menghadapi mana-mana serangan. Baginda SAW mengikat mereka dengan hubungan aqidah serta menekankan tentang peri pentingnya hubungan yang tejalin di atas aqidah tersebut. Justeru, hubungan Ukhuwah ini mampu memelihara keamanan dalaman bagi negara baru tersebut dan menjadikannya mampu berdepan dengan pelbagai jenis cabaran.
Berkata seorang ‘alim: Apa yang dimaksudkan dengan Ukhuwah itu ialah terikatnya hati-hati dan jiwa-jiwa dengan ikatan aqidah, dan aqidah itu adalah ikatan yang paling kuat dan mahal. Ukhuwah itu adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan perpaduan namun tidak akan tercapainya perpaduan tanpa kasih sayang dan tahap kasih sayang yang paling rendah ialah dengan berlapang dada dan tahap yang paling tinggi ialah dengan mengutamakan orang lain ke atas dirinya sendiri. Allah berfirman yang bermaksud, “Dan barangsiapa yang dipelihara kebakhilan dirinya maka merekalah orang-orang yang beruntung.” (Al-Hasyr: 9)
Seorang yang benar akan melihat sahabat-sahabatnya lebih utama dari dirinya kerana jika dia tidak bersama mereka maka dia akan bersama orang lain dan jika mereka tidak bersamanya maka mereka akan bersama selainnya, dan serigala hanya akan memakan kambing yang bersendiri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Orang mukmin terhadap orang mukmin umpama satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain.” Allah berfirman yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah penolong sebahagian yang lain.” (At-Taubah: 71)

No comments:

Post a Comment