"Jadilah seperti pohon rendang yang berbuah; dibalingkan dengan batu, tetapi diberikan buah sebagai balasan." ~Hasan Al-Banna~

Friday, 12 October 2012

SEBAHAGIAN NOTA YANG DIPETIK DARI DAURAH DR. SHEIKH USAMAH AL AZHARY



Assalammualaikum para pembaca yang dirahmati Allah,
nota ini saya ambil dari akhi  http://www.facebook.com/MuhammedHafeez senior ilmi saya yang  melanjutkan pelajaran di mesir..dan mengikuti daurah  DR. SHEIKH USAMAH AL AZHARY

RINGKASAN DAURAH USUL FIQH oleh Sheik Dr.Usamah Al Azhari 

Subhanallah, penerangan yang sangat memuaskan oleh Al Fadhel Dr. Sheikh Usamah Al Azhary hafizahullah penerangan secara umum apakah peranan ilmu Usul Fiqh dan kepentingannya untuk memahami nas-nas syarak yang terdiri daripada Al Quran dan As Sunnah serta Ijma' dan qias. 

Sheikh Usamah juga membawa contoh bagaimana para sahabat RA memahami nas, dan apakah alat2 dan kelengkapan yang diperlukan seseorang untuk memahami nas-nas syarak. Sheikh juga membawa beberapa kitab muktabar yang menjadi rujukan dalam ilmu Usul Fiqh.

Begitu juga sheikh membawa gambaran seorang petani dengan sebuah pokok di mana dalam pokok itu ada dalil2 seperti Al Quran dan As Sunnah qias dan ijma'. Kemudian sifat petani bagaimana nak menjadi petani yang pandai menanam dan itulah gambaran seorang mujtahid (ulama Usul) dan pekerjaan pertanian itu bagaimana proses pertanian boleh berlaku dan itulah ibarat cara memahami nas.

Kemudian sheikh membawa beberapa nas dan praktikal ilmu Usul bagaimana pentingnya ilmu ini dalam hadith '' setiap bid'ah itu adalah sesat dan setiap yang sesat itu dalam api neraka '' dan sheikh memberi mesej bahawa sebahagian ulama kontemporari dengan sewenang2 tidak mematuhi peraturan ilmu Usul Fiqh dan kemudian ingin menjadi 'mujtahid' maka timbullah salah faham dalam memahami nas dan membawa kepada salah tafsri nas itu.


************************************************


Semasa Allah SWT menurunkan wahyu iaitu Al Qur'an Al Karim dan Al Quran merupakan hidayah Allah kepada manusia. Al Qur'an merupakan khulasah atau ringkasan kepada semua ilmu dan merupakan sumber hidayah.

Antara ilmu-ilmu yang terkandung dalam Al Quran Al Karim:
a) Aqidah
b) Hukum-hakam
c) Kisah-kisah
d) Akhlak dan budi pekerti
e) Perundangan
f) Perihal jiwa
g) Kemasyarakatan dan sebagainya.


Al Quran Al Karim merupakan sumber segala ilmu yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis ilmu seperti yang telah disebut di atas. Sheikh membawa perumpamaan Al Quran ibarat prisma (المنشور الثلاثي) yang apabila dimasukkan cahaya maka akan keluar warna-warna yang tujuh (hebatnya sheikh sampai masuk dalam bab sains). Al Quran AL Karim merupakan gedung ilmu dan pelbagai mustolah dan makna-makna yang luas yang terkandung dalam ayat-ayat Al Quran. Kemudian di samping Al Quran ada As Sunnah An Nabawiyah.

Sheikh memberitahu juga malah mengingatkan antara perkara yang paling penting ialah kaedah memahami (مناهج الفهم) ini adalah sangat penting kerana dengan cara kefahaman yang betul makna-makna setiap ayat dalam Al Quran itu akan sentiasa terpelihara sepertimana ketika wahyu diturunkan oleh Allah kepada baginda SAW dan kefahaman itu jugalah yang oleh para sahabat baginda SAW. Maka kita wajib mengetahui bagaimana para sahabat memahami wahyu yang disampaikan baginda SAW dan bagaimana Rasulullah SAW mengajar mereka untuk memahami nas.

Kemudian sheikh membawa dua contoh (namuzaj) kaedah kefahaman nas seperti yang disebut dalam soheh Bukhary oleh Al Imam Al Bukhary rahimahullah.

Contoh pertama:

Bagaimana sahabat mula bertanya tentang firman Allah:

الَّذِينَ آمَنُواْ وَلَمْ يَلْبِسُواْ إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ

Mereka yang beriman itu tidak campur adukkan imannya dengan kezaliman (Al An'am:82)

Sahabat merasa berat dengan mengatakan siapa dari kita yang tak melakukan kezaliman? Kemudian baginda SAW bersabda: Tidak, bukan maksud zalim seperti yang kamu sangka, tetapi ianya adalah seperti kata Luqman kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Apabila berkata Luqman kepada anaknya dan dia menasihatinya wahai anakku yang disayangi janganlah kamu mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) sesungguhnya ia adalah kezaliman yang sangat besar (Luqman: 13)

Maka sheikh menjelaskan lagi cuba kita lihat bagaimana kekasih kita Rasulullah SAW menerangkan kepada sahabat perkataan zalim di dalam ayat di atas bukan bermakna kezaliman seperti yang difahami oleh orang Arab maka baginda menjelaskan maksud zalim dalam ayat tersebut.

Sheikh berkata lagi bahawa adalah sangat penting untuk kita memahami bagaimana para sahabat memahami wahyu yang diturunkan kepada baginda dan bagaimana baginda mengajar para sahabat memahami wahyu sehingga setelah baginda wafat lahirlah golongan rijal yang kefahaman mereka dalam Al Quran dan As Sunnah melalui nabi SAW sudah sampai ke tahap yang dikehendaki baginda SAW.

Contoh kedua:

Kemudian sheikh membawa contoh kedua daripada soheh Al Bukhary juga ketika turunnya wahyu firman Allah dalam surah Al Baqarah tentang ayat puasa:

حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْر

Sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam iaitu waktu fajar (Al Baqarah: 187)

Maka berkata sahabat baginda U'dai bin Hatim RA wahai Rasulullah adakah aku jadikan di bawah bantal aku dua Eqal (tali yang digunakan Arab untuk ikat unta) satu berwarna putih dan satu berwarna hitam kemudian aku boleh tahu siang dan malam? Kemudian baginda SAW menjawab: Sesungguhnya bantal engkau itu tidak berubah keadaannya, sesungguhnya yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) ialah kegelapan malam dan kecerahan waktu pagi.

Maksud ayat di atas ialah kita dibolehkan makan dan minum pada waktu malam hari di bulan Ramadhan sehingga masuk waktu fajar waktu mulanya diharamkan makan dan minum dan waktu fajar yang dimaksudkan ialah fajar sodeq yang kelihatan satu cahaya putih di langit yang masih gelap.

Maka baginda SAW mengajar para sahabat bagaimana memahami wahyu dan mereka ada kemusykilan mereka bertanya kepada baginda SAW. Di sinilah peranan ilmu Usul Fiqh iaitu dengan ilmu ini seseorang faqeh mampu memahami nas samada Al Quran atau Hadith dengan kefahaman yang dikehendaki Allah dan Rasul SAW agar kita tidak salah faham yang akan membawa kepada salah tafsir dan boleh membawa kepada kesesatan.

Sheikh menerangkan juga bahawa ilmu Usul Feqh ini menukarkan Al Quran Al Kareem itu kepada pelbagai konsep kefahaman, manhaj-manhaj (cara-cara) praktikal. Sheikh memberitahu lagi bahawa tinggalan baginda SAW terdiri dari dua komponen utama iaitu:
a) Nas-nas Al Al Quran dan As Sunnah (Hadith)
b) Kaedah memahami nas-nas Al Qur'an dan As Sunnah (yang ulama memetiknya dari hadith-hadith baginda SAW)

Hubungan kedua-dua komponen di atas adalah sangat penting untuk memahami nas-nas syarak dan itu yang diperlukan oleh seorang faqeh dan mujtahid untuk melayakkan mereka mengistinbat (mengeluarkan) hukum hakam dan tafsiran nas Al Quran dan As Sunnah. Maka semua perkara yang kita sebutkan ini adalah sangat penting untuk mencapai kefahaman yang sebenar yang dikehendaki syarak iaitu kefahaman yang dikehendaki Allah dan Rasul.

Sheikh Usamah menyusun secara ringkas untuk memahami nas-nas dengan tiga kaedah:
a) Mengumpulkan dalil-dalil dan nas-nas (جمع الأدلة والنصوص)
b) Mengaitkan dan menggabungkan nas-nas dan dalil-dalil yang berkaitan (sheikh umpakan seperti kita bermain puzzle) – ( تركيب الأدلة )
c) Berusaha untuk memahami perbezaan lafaz-lafaz tertentu dalam Al Quran dan hadith atau apa yang dinamakan ilmu dilalah (دلالة الألفاظ).

Sheikh mengatakan bahawa hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali rahimahullah mengatakan: Ilmu dilalah ini adalah induk dan pegangan ilmu dan ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu Usul Feqh.

Sheikh menjelaskan lagi bahawa betapa hebatnya cara sahabat baginda SAW dalam memahami nas membuktikan bahawa kecerdikan dan kepandaian mereka dalam memahami nas-nas syarak. Maka berpindah kefahaman tersebut daripada sahabat RA kepada golongan tabi'en.

Maka datanglah Al Imam Abu Abdillah Muhammad bin Idris Ash Shafi'e (rahimahullah) mengumpul segala kaedah-kaedah memahami nas itu dalam sebuah surat yang diminta oleh Sheikhul Hadith pada zamannya Abdul Rahman ibnu Mahdi (rahimahullah) maka tulislah Al Imam Ash Shafi'e surat tersebut maka dinamakannya '' Ar Risalah '' dan dalam kitab tersebutlah mengandungi segala kaedah dan peraturan memahami nas yang daripadanya ulama memetik dan meluaskan lagi ilmu Usul Fiqh ini.

Sheikh memberitahu lagi bahawa salinan asal ' Ar Risalah' ini telah hilang dan dijual sekitar tiga tahun lepas dan salinan asal itu begitu berharga kerana ianya ditulis pada zaman Imam Ash Shafi'e. Sheikh menegaskan lagi bahawa ilmu Usul Fiqh ini telah wujud sejak zaman sebelum Imam Ash Shafi'e rahimahullah lagi tetapi ianya belum ditulis secara rasmi dan belum dikumpulkan seperti usaha agung yang dilakukan oleh Al Imam Ash Shafi'e.

Maka kita dapat lihat betapa 'brilliant' Al Imam Ash Shafi'e sehingga boleh menyusun ilmu Usul Fiqh ini yang memberi faedah yang sangat besar kepada mujtahid dan ulama serta ummah selepas kewafatannya. Sheikh memaklumkan lagi bahawa kitab Ar Risalah ini disyarah oleh ulama tetapi kesemuanya hilang tak ditemui dan tidak sampai kepada kita.

Kemudian sheikh memberi maklumat berkenaan kitab-kitab Usul Fiqh yang utama iaitu:
a) المستصفى من علم الأصول oleh Al Imam Hujjatul Islam Al Ghazali (505H))0jH)
b) البرهان في أصول الفقه oleh Al Imam Al Haramain Al Juwayni (478H)
c) كتاب المعتمد في أصول الفقه oleh Abi Al Hasan Al Basri (436H)
d) العمد oleh Al Qadhi Abdul Jabbar Al Mu'tazili (415H)

Kitab-kitab lain yang disebutkan oleh sheikh telah saya postkan dalam post sebelum ini boleh rujuk semula di sana.

Kemudian sheikh memberitahu bahawa kekal sistem ilmu Usul Fiqh itu dengan tiga rukun asas:
a) Dalil-dalil Fiqh yang ijmal (أدلة الفقه الإجمالية)
b) Cara untuk mendapat istifadah daripada dalil-dalil (yang disebut dalam rukun pertama)
c) Keadaan mustafed (حال المستفيد)

Sheikh memberitahu lagi bahawa dalam Al Quran Al Kareem kita dapat lihat secara zahir hubungan antara Al Quran dengan baginda Nabi SAW sangat jelas dan dahsyat seperti yang digambarkan oleh Allah Taala dalam firmannya :

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ

Segala puji-pujian bagi Allah yang telah menurunkan ke atas hambanya (Muhammad) Al Kitab (Al Quran Al Kareem) (Al Kahf:1)

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الكِتَابَ الذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا

Kemudian kami jadikan Al Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami (Fathir: 32)

Jelas daripada ayat-ayat di atas bahawa hubungan yang sangat rapat antara Al Quran dan hamba-hamba Allah itu sheikh mengatakan ini adalah silsilah yang sangat penting dan boleh disimpulkan dengan gambaran silsilah berikut:

Al Qur'an ---> Hamba-hamba ---> Manhaj-manhaj memahami ---> Al Fiqh

Hamba-hamba yang dimaksudkan ialah para ulama. Betapa jelasnya hubungan ilmu dengan para ulama sehingga dalam hadith kita dapati dalam soheh Muslim meriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

(( إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْتَزِعُ الْعِلْمَ مِنْ النَّاسِ انْتِزَاعًا وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعُلَمَاء ))

Seseungguhnya Allah tidak mencabut ilmu daripada manusia tetapi (Allah mencabutnya) dengan mematikan para ulama

Imam Ad Darimi dalam sunannya dalam bab perginya ilmu meriwayatkan dari Abi Umamah bahawa Nabi SAW bersabda:

(( إن ذهاب العلم أن يذهب حملته ))

Sesungguhnya perginya ilmu itu dengan perginya (mati) orang yang memikulnya (ulama).

Jelas dari dua hadith di atas bahawa hubungan antara ulama dengan ilmu merupakan hubungan yang sangat rapat dan tidak boleh dipisahkan sheikh membawa ibarat seperti hubungan anggota badan.











Kemudian sheikh mengatakan bahawa sebahagian ulama kontemporari zaman ini telah melanggar peraturan ilmu Islam dan telah mengoyakkan manhaj yang telah diamalkan sekian lama ini khasnya dalam bab syarat-syarat untuk menjadi mujtahid dalam bab 'hal mustafed' yang telah kita bicarakan sebelum ini iaitu mereka atau puak ini mengambil jalan muda
h atau meringankan malah membuang manhaj yang unggul ini.

Sheikh menerangkan maksud kalamnya dengan mengatakan bahawa kita telah mengetahui sumber-sumber hukum syarak iaitu dalil-dalil tafsiliyah yang telah disepakati oleh ulama adalah:

a) Al Quran
b) As Sunnah
c) Al Ijma
d) Al Qiyas

Datang golongan ini dan mengingkari dalil qias, kemudian mengingkari juga dalil ijma' dan mendakwa hanya Al Quran dan As Sunnah sahaja dalil muktamad dalam hukum syarak. Mereka tidak sedar mereka melakukan suatu kesalahan besar dengan menolak dalil qias dan ijma. Jika kita perhatikan 90% daripada fatwa-fatwa dan isu-isu serta hukum hakam dalam permasalahan kontemporari dalil-dalilnya banyak dipetik dari hukum qias.

Maka apakah bahaya atau risiko hasil mereka menolak dalil qias? Maka dengan mudahnya mereka membid'ahkan orang ramai dalam semua perkara. Mereka tidak ketahui bahawa Daru Qutni meriwayatkan dari Abi Tha'labah bahawa Nabi SAW bersabda:

(( وسكت عن أشياء رحمةً لكم ، غير نسيانٍ، فلا تبحثوا عنها ))

Dan (Allah SWT) diamkan beberapa perkara adalah rahmat bagi kamu bukan (bermakna Allah itu) lupa maka janganlah kamu mencarinya.
Sheikh mengatakan kita perlu tahu bahawa hadith di atas adalah dalil yang jelas bahawa banyak perkara-perkara kebajikan yang dibolehkan dalam Islam Allah tidak menyebutnya.

Kemudian sheikh membawakan gambaran ilmu Usul Fiqh ini ibarat sebuah pokok dengan petani, yang terdiri daripada 4 rukun asas:
a) Pokok (yang mengeluarkan buah-buahan) – (المثمر)
b) Buah-buahan (الثمرة)
c) Pekerjaan penanaman (الاستثمار)
d) Orang yang menanam (المستثمر)

Maksud gambaran atau perumaaan yang dibawakan sheikh secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Pokok yang mengeluarkan buah-buahan: Itulah dalil-dalil iaitu Al Qur'an, As Sunnah, Ijma' dan qias.
Buah-buahan: Itulah hukum-hakam (fiqh).
Pekerjaan penanaman: Itulah kerja ulama Fiqh (faqeh) dan ulama Usul Fiqh yang memerlukan alat-alat dan kelengkapan-kelengkapan yang sempurna supaya boleh mengeluarkan hukum hakam daripada dalil-dalil.
Orang yang menanam: Itulah yang dimaksudkan hal al mustafied iaitu syarat-syarat nak menjadi seorang mujtahid.

Perumpamaannya setelah seorang faqeh mempunyai ilmu dan kemampuan dalam memahami dalil-dalil maka dia mampu mengeluarkan hukum-hakam yang betul sepertimana seorang petani yang menanam setelah dia berusaha menanam, menjaga, mengetahui cara menanam. Untuk mendapat hasil yang baik, seseorang yang hendak menanam memerlukan kelengkapan yang baik dan sempurna maka akan lahirlah buah-buahan yang segar yang akan dipetik dan dimakan oleh orang ramai dan memberi kesihatan yang baik kepada yang memakannya.

Sheikh juga memberitahu bahawa sebahagian ulama mengatakan bahawa qias pada Imam Al Ghazali adalah cara untuk memahami nas-nas. Sheikh juga membawa kata-kata Sheikh Muhammad Muhammad Abu Musa Al Azhary yang kesimpulannya ilmu yang sangat bermanfaat ialah ilmu yang membina dan menggunakan akal dan hubungan antara ilmu dan akal itu sangat rapat dan saling kait mengait satu sama lain.

Daripada kalam sheikh Abu Musa rahimahullah ini nak menunjukkan bahawa ilmu Usul Fiqh sebuah ilmu yang sangat agung kerana memerlukan daya kefahaman yang tinggi dan tahap menggunakal akal dan fikiran sepenuhnya untuk memahami nas-nas syarak maka ilmu ini sangat bermanfaat buat ummah dan menjadikan ianya sebuah ilmu yang sangat penting.

Kemudian sheikh juga membawa beberapa pengkaji telah membuat kajian berkaitan manhaj dan prinsip ilmu Usul Fiqh ini, kajian ini boleh didapati dalam silsilah makrifah keluaran negara Kuwait bahawa dengan membawa ilmu Usul Fiqh dan membincangkan dengan perbincangan yang terperinci tentang topik pembinaan struktur-struktur dan pecahan-pecahan dalam ilmu-ilmu moden yang ada kini. Nama dua kajian yang ditulis itu ialah (مرايا المحددة) dan (مرايا المقعرة). (Ada sebahagian part ni saya tak dapat tangkap perkataan sheikh jadi mohon yang faham boleh komen atau seumpamanya).

Kemudian sebelum daurah tamat sheikh membawa sekali lagi contoh praktikal (نموذج تطبيقي) kepentingan ilmu Usul Fiqh ini dalam memahami nas dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Al Hakim bahawa nabi SAW bersabda:

(( فإن كل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة ))

Sesungguhnya setiap perkara yang baru itu adalah bid'ah dan setiap perkara yang bid'ah itu sesat.

Apakah yang dimaksudkan setiap perkara yang baru? Adakah perkataan ''kull'' (كل) dalam hadith merangkumi semua perkara yang tidak ada dalam Al Quran dan As Sunnah semata-mata?? Di manakah perbahasan bab ini? Bab ini ulama Usul meletakkannya dalam bab Umum dan Khusus salah satu perbahasan ilmu Usul Fiqh. Maka seperti yang telah kita sebut bahawa perlu kita mengkaji dahulu nas-nas dalam Al Quran dan As Sunnah untuk mentafsirkan makna muhdasah (محدثة) dalam hadith ini.

Pada asalnya, perkataan kullu (كل) membawa makna yang umum iaitu setiap sesuatu atau kesemuanya dan dia membawa makna umum ini sekiranya tidak ada sebarang qarenah qarenah tertentu tetapi sekiranya ada qarenah-qarenah tertentu maka ia tidak membawa lagi makna umum.

Perlu kita tahu bahawa tidak semua keadaan membawa makna umum maka umum di kalangan ulama Usul bukan semuanya membawa makna umum. Ulama Usul telah meletakkan kaedah:

العموم في العام شمولي والعموم في المطلق بدلي

Umum dalam umum itu syumul dan umum dalam mutlak adalah badal (ganti).

Apakah maknanya? Jom kita perhatikan bagaimana sebahagian kalimah kull dalam Al Quran, firman Allah SWT dalam surah Al Ahqaf:

رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ تُدَمِّرُ كُلَّ شَيْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأَصْبَحُوا لا يُرَى إِلا مَسَاكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَجْزِي الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ

Angin yang membawa azab yang tidak terperi sakitnya*Yang menghancur leburkan SEGALA-GALANYA dengan izin tuhannya (selepas azab itu ditimpa ke atas mereka) maka menjadikan mereka punah ranah tidak ada yang kelihatan MELAINKAN tempat-tempat tinggal mereka dan demikianlah kami membalas kaum yang berdosa. (Al Ahqaf: 24-25)

Daripada ayat di atas Allah menyebut --> menghancurkan segala-galanya, kemudian Allah menyebut dalam ayat yang sama --> MELAINKAN tempat-tempat tinggal mereka. Maka jelas daripada ayat di atas bahawa segala-galanya bukan bermakna semuanya, bukan semuanya hancur lebur disebabkan angin azab Allah tersebut kerana kita faham bahawa segala-galanya itu bermakna tidak meninggalkan sebarang kesan tetapi di sini tidak bermaksud demikian, maka inilah yang dinamakan khusus dengan perkataan MELAINKAN dalam ayat tersebut.

Contoh lain dalam firman Allah SWT lagi dalam surah Yusuf:

مَا كَانَ حَدِيثاً يُفْتَرَى وَلَكِن تَصْدِيقَ الَّذِي بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

(Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al Quran) bukanlah cerita rekaan yang diadakan semata-mata, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan TIAP TIAP sesuatu, serta menjadi hidayah dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)

Perhatikan dalam ayat di atas, tiap-tiap sesuatu itu bermaksud dari segi zahir ayat Allah SWT menerangkan keterangan kepada hamba-hambaNya dalam semua perkara. Di sana ada firman Allah SWT dalam surah Al An'am:

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لاَ يَعْلَمُهَا إِلاَّ هُوَ ..

Dan di sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib
(Al An'am:59)

Ayat ini mentakhsiskan / mengkhususkan ayat sebelum ini bahawa Allah menerangkan segala keterangan kepada manusia tetapi segala perkara yang ghaib itu hanya Allah sahaja yang mengetahui. Maka jelas kita nampak bahawa penggunaan kalimah kullu tak semestinya membawa makna yang umum semata-mata, ianya akan membawa makna khusus apabila terdapat tanda-tanda (قرائن) yang menunjukkan makna ayat itu bukan umum seperti contoh dua ayat di atas. Maka umum kadang kala yang dimaksudkan umum itu khusus dan kadang kala ia membawa makna umum.

Maka secara ringkasnya ulama telah membuat kajian dalam Al Quran dan As Sunnah dan memberi kesimpulan bahawa perkataan "kullu" dalam hadith yang telah dibawakan (كل محدثة بدعة) itu bukan bermakna semua perkara yang baru itu bid'ah sesat. Yang dimaksudkan dalam hadith itu bid'ah atau perkara-perkara yang direka atau yang baru yang bertentangan dengan nas-nas syarak itulah yang dimaksudkan dengan bid'ah dholalah yang dimaksudkan baginda SAW setiap bid'ah itu sesat.

Sheikh membawa dalil mengatakan bahawa buktinya Al Imam Al Baihaqi (rahimahullah) dalam kitabnya Manaqib Al Imam Ash Shafi'e (rahimahullah) telah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Al Imam Ash Shafi'e telah membahagikan bid'ah itu kepada dua iaitu bid'ah hasanah dan bid'ah sayyi'ah (dholalah). Berkata Al Imam Ash Shafi'e:

المُحْدثات من الأمور ضربان:
أحدُهما: ما أحْدِث ممّا يُخالف كتاباً أو سُنّةً أو أثراً أو إجماعاً، فهذه " البِدعة الضّلالة ".

Perkara-perkara yang baru itu ada dua dan salah satunya apa yang diada-adakan (baru) yang bertentangan dengan Al Kitab (Al Qur'an) atau As Sunnah atau Athar (kalam sahabat) atau ijma' (ijma' ulama), maka (yang berlawanan dengan salah satu dalil tadi) inilah bid'ah dholalah (sesat)





 Mohon sahabat2 tegur jika ada sebarang kesilapan jazakumullah kher


WALLAHU TA'ALA A'LAM








Ade seorang Dr. memberi ucapan : "Kejayaan sheikh Usamah bukan hanya 1 kemuliaan buat dirinya secara peribadi tapi kemuliaan buat Al-Azhar Al-Syarif."

Habib Ali kata :"Diantara sebab yang menarik beliau untuk hadir munaqasyah Dr Usamah adalah kerana Dr Usamah diantara ulama muda yang ilmunya melampaui umurnya,ilmunya tentang falsafah zaman sekarang dan peranannya dalam berkhidmat kepada Al-Azhar Al-Syarif."


dipetik dari http://almaarif87.blogspot.com/2011_07_01_archive.html

No comments:

Post a Comment