"Jadilah seperti pohon rendang yang berbuah; dibalingkan dengan batu, tetapi diberikan buah sebagai balasan." ~Hasan Al-Banna~

Monday, 25 March 2013

berkaitan hari jumaat




BERKAITAN HARI JUMAAT

• Surah Al Jumu'ah merupakan surah Madaniyyah iaitu diturunkan di Madinah El Munawwarah. 

• Daripada Ibnu Abbas R.A dan Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم membaca surah Al Jumu'ah dan surah Al Munafiqun dalam solat fardhu Jumaat. (Hadith riwayat Imam Muslim dalam sohehnya).

• Dinamakan surah ini sebagai surah Jumu'ah (Jumaat) kerana diambil daripada perkataan al jam'u (الجمع) iaitu berkumpul, sesungguhnya orang-orang Islam berkumpul pada hari tersebut setiap minggu dan pada hari tersebut berkumpul ramai orang.

• Hari Jumaat merupakan hari yang keenam daripada enam hari Allah menjadikan langit dan bumi dan begitu juga hari Jumaat hari diciptakan Nabi Allah Adam AS dan pada hari Jumaat dimasukkan ke syurga Allah dan pada hari Jumaat jugalah baginda dikeluarkan dari syurga. 

• Begitu juga hari Jumaat hari berlakunya kiamat dan pada hari Jumaat terdapat waktu di mana tidak ada orang mukmin berdoa pada waktu tersebut melainkan Allah akan berikannya sepertimana yang disebut di dalam hadith-hadith yang soheh.

• Berkata Salman Abu Qasim RA yang diriwayatkan dari Abu Hatim bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : Wahai Salman, apakah hari Jumaat itu? Maka aku berkata: Allah dan Rasulnya lebih mengetahui. Maka baginda bersabda صلى الله عليه وسلم bersabda lagi : Pada hari itulah dikumpulkan kedua ibubapa engkau. (Riwayat Tobrani dalam mu'jam kabeer dan Al Hakim dalam mustadrak)

• Sebahagian ulama lughah (ulama bahasa Arab) mengatakan pada zaman dahulu hari Jumaat ini dinamakan Hari Al A'rubah. Dan telah sabit bahawa umat-umat sebelum kita telah disuruh untuk mendirikannya juga dan mereka sesat daripadanya.

• Orang-orang Yahudi memilih hari Sabtu di mana tidak ada padanya lagi makhluk-makhluk dan orang-orang Nasrani memilih hari Ahad hari permulaan wujudnya makhluk-makhluk.

• Allah SWT memilih hari Jumaat hari yang disempurnakan ciptaan makhluk-makhluknya sepertimana hadith yang diriwayatkan Bukhary dan Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : Allah telah menyesatkan mereka sebelum kita, orang-orang Yahudi bagi mereka hari Sabtu, dan bagi orang-orang Nasrani hari Ahad, dan mereka itu mengikut kita pada hari Kiamat, kita adalah yang terakhir dalam dunia (umat Islam selepas umat Nasrani dan Israel), dan kami di kalangan yang awal pada hari Kiamat kelak yang akan diqada'kan sebelum sekalian makhluk (lafaz muslim).

• Allah SWT telah memerintahkan orang-orang beriman untuk beribadah kepadanya pada hari Jumaat dalam firmanNya : '' Wahai orang-orang yang beriman apabila diseru seruan azan untuk bersembahyang maka pergilah kamu untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah urusan jual beli…'' . Ulama menafsirkan bahawa orang-orang mukmin hendaklah mengambil berat dan bersegera apabila berkumandang azan Jumaat dan tinggalkan segala urusan dunia untuk menghadapkan diri di hadapan Allah Taala dan tidak bermaksud segera itu mesti berjalan cepat dan lari, kerana yang dimaksudkan dalam ayat untuk bersegera iaitu mengambil berat tentang ibadah khutbah dan solat Jumaat.

• Segera yang disebutkan tidak bermaksud jalan dengan cepat atau berlari kerana itu adalah perkara yang dimakruhkan berdasarkan hadith nabi صلى الله عليه وسلم yang diriwayatkan Bukhary dan Muslim daripada Abu Hurairah RA : Apabila kamu mendengar iqamah maka berjalanlah untuk mendirikan sembahyang, dan hendaklah kamu tenang dan bersedia jangan kamu terlalu cepat (dalam pergerakan) , apa yang kamu sempat sembahyanglah dan apa yang tertinggal maka sempurnakan (lafaz Bukhary). 

• Daripada Abu Qatadah RA bahawa kami telah bersembahyang bersama nabi صلى الله عليه وسلم maka terdengar ramai orang bercakap-cakap banyak maka setelah baginda صلى الله عليه وسلم selesai sembahyang baginda bertanya: '' Ada apa dengan kamu?'' Maka mereka menjawab: Kami nak bersegera @ nak cepat untuk sembahyang. Baginda صلى الله عليه وسلم bersabda: Janganlah kamu lakukannya (cepat @kelam kabut) untuk mendirikan sembahyang, jalanlah dan diri kamu dalam keadaan yang tenang, apa yang kamu sempat sembahyanglah dan yang tertinggal sempurnakan. (Riwayat Bukhary dan Muslim)

Tafsir Al Qur'an Al A'zeem oleh Al Hafiz Ibnu Katheer 

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment